Sumber : http://abutaqiyuddin.blogspot.com
( Berikut Surat Yang Ditulis Oleh Hasan Al Basri Kepada Khalifah Umar Bin Abdul Aziz untuk dijadikan nasihat dan peringatan. Jadikan ini juga sebagai ingatan bersama serta amaran kepada semua pemimpin yang dibelenggu di tengkuknya dengan amanah kepimpinan )
Wahai Amirul Mukminin, Tuhan memberi amanah kepada khalifah bagi meluruskan segala yang bengkok, membaiki segala yang rosak, menguatkan segala yang lemah, membela mereka yang teraniya, dan menjadi penolong mereka yang terhindar.
Wahai Amirul Mukminin, ketua negara yang adil ibarat gembala yang sayang kepada haiwan-haiwan ternakannya, menghantarnya ke tampat yang selamat serta jauh daripada bahaya, mengawalnya daripada gangguan binatang buas serta melindunginya daripada kepanasan dan kedinginan.
Wahai Amirul Mukminin, Khalifah yang adil laksana seorang ayah yang arif bijaksana pada anak-anaknya. Apa yang dilakukan demi kebaikan mereka, mengajarnya menjadi orang yang berguna, bekerja keras membanting tulang untuk ahli keluarganya serta meninggalkan peninggalan yang berharga buat mereka apabila meninggal dunia kelak.
Wahai Amirul Mukminin, Ketua Negara yang adil ibarat seorang ibu yang berkasih sayang serta bersikap lemah lembut kepada anak-anaknya. Dia rela mengandungkannya dengan bersusah payah, kemudian mengasuhnya ketika bayi. Dia sanggup berjaga malam selagi anaknya tidak tidur dan perasaannya baru lega dan tenang selepas anaknya tenang dan tidur lena. Kemudian dia menyusukan anaknya ketika haus dan gembira apabila anaknya sihat dan berdukacita apabila anaknya sakit.
Wahai Amirul Mukminin, Ketua Negara yang adil ialah ketua negara yang berdiri antara Tuhan dan hambaNya. Dia memperdengarkan firman Allah kemudian menyampaikan kepada rakyatnya. Dia patuh kepada perintah Tuhan kemudian mengajak rakyatnya supaya turut mematuhi-Nya.
Wahai Amirul Mukminin, dengan kuasa yang dikurniakan Tuhan kepada kamu, jangan jadi seperti budak suruhan yang diberi amanah oleh tuannya bagi menjaga keluarga dan harta bendanya, kemudian dia khianati serta melakukan sewenang-wenangnya hingga harta itu habis dan majikannya menjadi marah. Khalifah adalah hamba kepada rakyatnya.
Wahai Amirul Mukminin, Tuhan menggariskan panduan hidup melalui kitab Quran dan Lidah Rasulullah supaya manusia menjauhkan diri daripada kejahatan. Tetapi bagaimana sekiranya yang melanggar peraturan itu orang yang sepatutnya menjadi pelaksana hukuman itu? Tuhan menjadikan hukum Qisas sebagai jaminan kehidupan para hambaNya. Tetapi bagaimana apabila orang yang jadi pemimpin itu adalah orang yang seharusnya dituntut bagi dijatuhkan hukuman qisas tersebut?
Wahai Amirul Mukminin,sentiasa ingatlah akan kematian dan apa yang akan terjadi selepasnya. Ketika itu kamu tidak ada pembela selain amal ibadat mu. Kerana itu, bersiap sedialah menghadapinya dan jadikan perkara itu masalah besar bagimu. Ingatlah pada hari di mana seseorang itu melarikan diri daripada saudaranya, ibubapanya serta isteri dan anak-anaknya.
Wahai Amirul Mukminin, Jangan kamu menghukum hamba Allah dengan hukuman orang jahil. Janganlah bawa mereka itu di jalan yang dilalui orang zalim. Jangan kamu beri kesempatan pada orang sombong yang berkuasa ke atas orang yang lemah.
Wahai Amirul Mukminin, Janganlah kamu memandang pada kedudukan kamu pada hari ini, tetapi pandanglah kedudukan kamu pada hari esok di mana kamu terbelenggu dalam cengkaman maut, kemudian berdiri di hadapan Tuhan di tengah kelompok para malaikat, para nabi dan rasul.
Akhir kata wahai Amirul Mukminin khalifah Umar Bin Abdul Aziz, meskipun nasihat yang saya berikan ini tidak sebaik nasihat para cendekiwan, namun saya setulus hati sayang dan cinta kepadamu. Saya mengirim surat ini laksana orang yang memberikan ubat kepada kekasihnya, yang menuangkan ubat yang pahit dengan harapan orang yang dikasihinya sihat.
Selamat atasmu wahai Amirul Mukminin, semoga Tuhan memberikan rahmat dan berkatNya kepadamu. Amin.
( Wahai mereka Para Pemimpin di luar sana, ingatlah bahawa pesanan ini bukan hanya terkena di atas pundak Khalifah Umar Bin Abd Aziz. Tetapi semua yang bergelar pemimpin akan dipertanggungjawabkan sama ke atas mereka ).
sumber dari http://cintarindurasul.blogspot.com/2011/11/pesanan-hasan-al-basri-kepada-khalifah.html
No comments:
Post a Comment