Followers

Recent Posts

selamat datang ke http://aku-ash.blogspot.com/ "dunia ini untuk kita aje"

Thursday, April 25, 2013

Kenali Ulama: Khalifah Umar bin Abdul Aziz


Ini adalah kisah seorang manusia yang disebut oleh Jisr al-Qashshab berkata, saya melihat serigala dan kambing hidup damai di masa pemerintahan Umar bin abdul Aziz. Lalu saya katakan, “Subhanallah! Serigala sama sekali tidak berbahaya berada di tengah-tengah kambing? Penggembala berkata, jika kepalanya baik, maka semua jasad pun tidak akan menderita sakit apa-apa.”


Insan ini ialah Umar ibni Abd al-Aziz (682-720) ialah khalifah Ummaiyyah yang memerintah dari tahun 717 hingga tahun 720. Tidak seperti khalifahUmmayyah sebelumnya, dia dilantik ke jawatan khalifah. Dia ialah sepupu khalifah sebelumnya dan ialah anak adik Khalifah Abdul Malik iaitu Abd al-Aziz.Umar dilahirkan pada tahun 682. Ada dua pendapat mengenaai tempat kelahirannya iaitu pendapat pertama dia dilahirkan di Madinah manakala pendapat kedua mengatakan dia dilahirkan di Mesir. Bapanya ialah Abd al-Aziz, Gabenor Mesir dan adik kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Umar ialah cicit kepada Khalifah kedua Khulafa al-Rasyidin iaitu Saidina Umar Al-Khatab.


Kedudukan beliau:

Salah seorang Tabiin yang terhormat. Beliau digelarkan dengan gelaran Khulafa' Ar-Rasyidin yang kelima kerana beliau memerintah sama sebagaimana pemerintahan Khulafa' Ar-Rasyidin.

Beliau memegang teraju pemerintahan selepas Sulaiman bin Abdul Malik. Muhammad bin Ali bin Al-Husin rahimahullah berkata tentang beliau: "Kamu telah sedia maklum bahawa setiap kaum mempunyai seorang tokoh yang menonjol dan tokoh yang menonjol dari kalangan Bani Umaiyyah ialah Umar bin Abdul Aziz, beliau akan dibangkitkan di hari kiamat kelak seolah-olah beliau satu umat yang berasingan."


Kehidupan beliau menuntut ilmu:

Umar bin Abdul Aziz menuntut ilmu sejak beliau masih kecil, beliau sentiasa berada di dalam majlis ilmu bersama-sama dengan orang-orang yang pakar di dalam bidang fekah dan juga ulama-ulama. Di dalam usia beliau, beliau pernah memegang teraju pemerintahan di Madinah beberapa ketika.

Pelantikan beliau sebagai Khalifah:

Beliau dilantik menjadi Khalifah selepas kematian Sulaiman bin Abdul Malik tetapi beliau tidak suka kepada pelantikan tersebut. Lalu beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai untuk mendirikan sembahyang. Selepas itu orang ramai mula berpusu-pusu pergi ke masjid. Apabila mereka semua telah berkumpul, beliau bangun menyampaikan ucapan. Lantas beliau mengucapkan puji-pujian kepada Allah dan berselawat kepada Nabi s.a.w kemudian beliau berkata: "Wahai sekalian umat manusia! Aku telah diuji untuk memegang tugas ini tanpa meminta pandangan daripada aku terlebih dahulu dan bukan juga permintaan daripada aku serta tidak dibincangkan bersama dengan umat Islam. Sekarang aku membatalkan baiah yang kamu berikan kepada aku dan pilihlah seorang Khalifah yang kamu reda. Tiba-tiba orang ramai serentak berkata: Kami telah memilih kamu wahai Amirul Mukminin dan kami juga reda kepada kamu. Oleh yang demikian perintahlah kami dengan kebaikan dan keberkatan. Lalu beliau berpesan kepada orang ramai supaya bertakwa, zuhud kepada kekayaan dunia dan mendorong mereka supaya cintakan akhirat kemudian beliau berkata pula kepada mereka: "Wahai sekalian umat manusia! Sesiapa yang taat kepada Allah, dia wajib ditaati dan sesiapa yang tidak taat kepada Allah, dia tidak wajib ditaati oleh sesiapapun. Wahai sekalian umat manusia! Taatlah kamu kepada aku selagi aku taat kepada Allah di dalam memimpin kamu dan sekiranya aku tidak taat kepada Allah, janganlah sesiapa mentaati aku". Setelah itu beliau turun dari mimbar.

Transformasi Pentadbiran :

Transformasi Umar B. Abdul Aziz merangkumi segala aspek pemerintahan sama ada Kehidupan beragama, politik, sosial, ekonomi, dan budaya. Perekonomian sebagai contoh, ditegakkan di atas nilai-nilai kebenaran, keadilan dan penghapusan kezaliman dalam segala sudut, meletakkan target-target ekonomi yang benar, pembahagian harta kekayaan yang masuk ke dalam hasil negara secara adil, meningkatkan taraf ekonomi dan kemakmuran masyarakat, berpandukan langkah-langkah yang benar. Ini adalah seperti - menyediakan iklim yang kondusif yang menyokong pertumbuhan ekonomi, membuka kebebasan ekonomi dalam skala luas, menetapkan kebebasan perdagangan, kemahiran pertanian, dan menyediakan infrastruktur yang baik, sehingga setiap orang dengan suka cita mengambil tempat dan terlibat dalam pertumbuhan ekonomi, bahkan tanah-tanah yang mati menjadi hidup.
Hasilnya, rakyat merasa cukup, Muslim dan bukan Muslim hidup dengan mewah, sehingga tiada orang yang layak dan mahu menerima zakat dan sedekah. Tonggak penting dalam negara yang dibina oleh Umar adalah pertama, berdirinya pusat-pusat kajian ilmiah dan pendidikan, dan kedua, orang-orang yang menjadi penasihat, gabernur dan pembantu pentadbirannya adalah orang-orang yang jujur, amanah, soleh dan berilmu.
Kekhalifahan Umar ini ditegakkan dengan dasar Syari'at tauhid yang murni lagi tulus, keadilan Islam dan tauhid ditegakkan, sehingga tidak ada sesiapa pun yang merasa tertindas. Semua ini bermuara dari keperibadian Umar yang agung - di mana beliau memiliki akidah yang lurus lagi sejahtera, rasa takutnya yang sangat kepada Allah, jujur, amanah, zuhud, wara', tawadhu', peribadi yang tenang, sifat pemaaf, berlapang dada, sabar, tegas, adil, rendah hati, kuat dalam bekerja, dan sentiasa menegakkan kebenaran dan keadilan tanpa letih.


Peristiwa yang berlaku di antara beliau dengan anak beliau semasa memegang teraju pemerintahan:

Umar pulang ke rumah kemudian beliau masuk ke tempat tidurnya. Sebelum sempat beliau membaringkan badan, tiba-tiba anaknya Abdul Malik masuk berjumpa dengan beliau. Pada masa tersebut anak beliau berumur 17, kemudian anak beliau berkata: "Apakah yang kamu ingin lakukan wahai Amirul Mukminin?" Lalu Umar menjawab: "Anakku! Aku ingin menghilangkan kepenatan seketika kerana aku terasa terlalu letih." Selepas itu Abdul Malik berkata: "Kamu ingin menghilangkan kepenatan sebelum kamu mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya, wahai Amirul Mukminin?" Lantas Umar menjawab: "Anakku! Kelmarin aku telah berjaga malam untuk menyelesaikan permasalahan yang berkaitan dengan bapa saudara kamu, Sulaiman, nanti apabila tiba waktu Zuhur, aku akan mendirikan sembahyang bersama-sama dengan orang ramai dan Insya Allah aku akan mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya." Seterusnya Abdul Malik berkata lagi: "Siapakah yang dapat menjamin bahawa kamu akan terus hidup sehingga ke waktu Zuhur, wahai Amirul Mukminin?!" Mendengar kata-kata tersebut Umar terus bangkit lalu beliau cium dan peluk anaknya kemudian beliau berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah melahirkan seorang anak dari tulang salbi aku yang boleh membantu aku di dalam perkara agama aku." Setelah itu beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai dengan berkata: "Sesiapa yang barang-barang mereka pernah diambil secara zalim, sila laporkan." Kemudian Umar mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya"

Keadilan beliau:

Umar rahimahullah pernah menghimpunkan sekumpulan ahli fekah dan ulama kemudian beliau berkata kepada mereka: "Aku menghimpunkan kamu semua untuk bertanya pendapat tentang perkara yang berkaitan dengan barangan yang diambil secara zalim yang masih berada bersama-sama dengan keluarga aku?" Lalu mereka menjawab: "Wahai Amirul Mukminin! perkara tersebut berlaku bukan pada masa pemerintahan kamu dan dosa kezaliman tersebut ditanggung oleh orang yang mencerobohnya." Walau bagaimanapun Umar tidak puas hati dengan jawapan tersebut sebaliknya beliau menerima pendapat daripada kumpulan yang lain termasuk anak beliau sendiri Abdul Malik yang berkata kepada beliau: "Aku berpendapat bahawa ia hendaklah dikembalikan kepada pemilik asalnya selagi kamu mengetahuinya. Sekiranya kamu tidak mengembalikannya, kamu akan menanggung dosa bersama-sama dengan orang yang mengambilnya secara zalim." Umar berpuas hati mendengar pendapat tersebut lalu beliau mengembalikan semula barangan yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya.

Kematian beliau:

Pemerintahan beliau hanya berjalan selama beberapa ketika iaitu tidak melebihi dua tahun setengah sahaja. Kemudian beliau meninggal dunia dan kembali kepada Tuhannya dalam keadaan berlaku adil kepada rakyatnya dengan menjalankan pemerintahan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.  



p/s: Alangkah hebatnya umat islam sekiranya mempunyai pemimpin sepertinya. Seorang ulama, dan umarak yang mana dalam masa 2 tahun lebih membuatkan rakyatnya tidak ada seorang rakyat yang layak menerima zakat.Selamat mengundi pada 5 may ini. Semoga pemimpin yang bakal dipilih mirip Umar Abdul Aziz.  Wallahu'alam...

No comments:

Post a Comment

mcm menarik je ni..tekan la..