ADAB-adab
berhubung ibadat mestilah merujuk kepada aja ran yang ditunjuk oleh Allah
s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan sunah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta
adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan
yang menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu
berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus menghilangkan
kelebihan puasa.
Sedangkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata', Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: "Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: "Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas."
Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan: "Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas." (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr,
Yang penting di dalam bulan Ramadan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunah.
Antara
adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadis:
1.
Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta'jil al-Iftar. Ini
berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin
Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi
mereka menyegerakan berbuka puasa. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi s.a.w., iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H): "Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya. (at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).
2.
Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang
telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar
ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu'jam al-Wasit 1/8.
Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan
masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di
dalam hadis daripada Anas katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa
dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan
beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa
teguk air. (Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya
al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith
al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).
Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan
3. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda s.a.w. bersabda: Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Riwayat di atas juga menambah: Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair,
Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut: "Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk. (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).
Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.
Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi s.a.w. ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H): "
4. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya: Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-`Araf:31).
Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut: Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. (Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan).
Hadis ini salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi s.a.w. menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadis ini bukan demikian, pembahagian tersebut ialah had maksimum. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab itu Baginda menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.
5. Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.: Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka. (Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin 'Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur'ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).
Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut: ''Hadis di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota." (Faidh al-Qadir, 2/500).
Di
Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang makbul ketika dia berbuka.
6.
Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a.: "Baginda
s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan
minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka
yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat
ke atas kamu para malaikat. (Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith
al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158). Maka berdoalah kepada mereka yang
menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.
Demikian senarai adab-adab yang
terkandung di dalam sunah Nabi s.a.w. ketika berpuasa. Semoga pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.
- DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN, Pensyarah Universiti SainsMalaysia .
Demikian senarai adab-adab yang
terkandung di dalam sunah Nabi s.a.w. ketika berpuasa. Semoga pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.
- DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN, Pensyarah Universiti Sains
Diedit daripada UTUSAN
MALAYSIA-www.utusan.com
No comments:
Post a Comment