(Al Hujurat: 12 - 13)
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ (12) يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا (وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13
Terjemahan:
(12) Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari
prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu
mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat
sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging
saudaranya yang sudah mati Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan
bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha
Penyayang.
(13) Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari
seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan
bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling
mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara
kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.
Tafsir Ayat:
Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka
,
Allah SWT melarang mukminin dan mukminat agar mereka jangan
terlalu banyak buruk sangka terhadap mukminin dan mukminat yang lain.
Lebih-lebih lagi kalau mereka itu orang-orang yang dikenal sebagai orang-orang
yang baik, jujur lagi amanah. Adapun terhadap orang yang suka melakukan perkara
buruk secara terang terangan, seperti masuk night club, discotik dan lain-lain,
maka berburuk sangka kepada mereka tidaklah di haramkan.
Sa'id Bin Al Musayyab RA berkata: Sebahagian
saudaraku daripada kalangan sahabat Rasulullah SAW pernah menulis surat
kepadaku:
"Hendaklah engkau letakkanlah segala urusan saudaramu pada
tempat yang sebaik-baiknya selagi dia tidak mendatangkan kepadamu sesuatu yang
boleh mendorong kamu berburuk sangka kepadanya, dan janganlah kamu berburuk
sangka pada setiap kata yang keluar dari (mulut) muslim lain sedangkan engkau
kenali dia orang yang baik, dan barangsiapa yang mendedahkan dirinya kepada
tohmahan maka janganlah dia mencela kecuali kepada dirinya sendiri". (Di
keluarkan oleh Al Baihaqy dalam Sya'bul Iman)
Kemudian Allah sebutkan sebabnya ('illatnya) mengapa kebanyakan
prasangka buruk terhadap mukmin lain itu dilarang.
Sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa.
Buruk sangka kepada sesama Muslim adalah dosa. Larangan serupa
juga terdapat pada ayat lain, antaranya:
(وَزُيِّنَ ذَلِكَ فِي قُلُوبِكُمْ وَظَنَنْتُمْ ظَنَّ السَّوْءِ وَكُنْتُمْ قَوْمًا بُورًا (12
"Dan syaitan telah menjadikan kamu
memandang baik dalam hatimu persangkaan itu, dan kamu telah menyangka dengan
sangkaan yang buruk dan kamu menjadi kaum yang binasa". (Al Fath: 12)
Dan menurut Ibnu Abbas RA: Ayat ini melarang mukmin
berburuk sangka terhadap mukmin yang lain.
Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain.
Allah melarang mukmin mencari-cari rahsia orang lain, lalu
didedahkan keburukan hasil intipan itu. Kita semestinya berpuas hati dengan
tindak tanduk zahir dari seseorang. Lalu kita berikan pujian dan sanjungan
sewajarnya terhadapnya ataupun sebaliknya mencela seseorang hendaklah
berdasarkan amalan zahirnya umpamanya ia seorang yang melakukan maksiat secara
terang terangan seperti pemabuk atau penjudi, bukan atas dasar apa yang
tersembunyi.
Oleh sebab inilah kita dilarang keras memasuki rumah atau bilik
orang lain tanpa izin dan kebenaran penghuninya.
Rasulullah SAW. bersabda: "Ada tiga perkara yang mesti ada
pada umatku: Thiyarah (beranggapan sesuatu boleh membawa sial), hasad (dengki)
dan suu'uzzan (buruk sangka).
Seorang sahabat bertanya: Ya Rasulallah, bagaimanakah caranya
agar ketiga-tiga perkara itu dapat kami hindarkan? Lalu jawab baginda SAW.:
Jika kamu ada perasaan dengki maka segeralah beristighfar (taubat) dan jika
kamu berburuk sangka (pada seseorang) maka janganlah kamu selidiki atau
mengintip intip dan jika kamu thiyarah maka hendaklah kamu teruskan (pekerjaan
itu).
(HR Thabarany dari Harits Bin Nu'man)
Dan janganlah sebahagian kamu menggunjing (mengumpat) sebahagian
yang lain.
Maksudnya: Jangan hendaknya kita menyebut keburukan orang lain
yang dia benci jika mengetahuinya. Larangan "menyebut" disini
bukan hanya terbatas pada ucapan lisan tetapi juga termasuk dalam bentuk
isyarat. Dan maksud "yang dia benci" disini mencakupi tentang
agamanya, dunianya, akhlaknya, rupanya, hartanya, anaknya, isterinya, suaminya,
khadamnya, pakaiannya, perhiasannya dan lain-lain.
Menurut Al Hasan: Mengumpat ada tiga bentuk, iaitu:
(1) Al Ghibah: Menyehut ke’aiban atau kecacatan
seseorang yang ‘aib itu memang ada pada diri orang tersebut.
(2) Al Buhtan: Menyebut ke’aiban atau kekurangan
seseorang yang ‘aib itu tidak ada pada orang itu (hanya direka-reka saja).
(3) Al Ifk: Menyebut ke’aiban atau keburukan
seseorang hasil daripada apa yang didengarnya melalui mulut orang lain.
Para ulama sependapat bahawa kesemua jenis mengumpat diatas
adalah dosa besar (Al Kabaair). Selain mereka wajib taubat kepada Allah,
mereka juga wajib memohon maaf kepada orang yang diumpat.
Sukakah salah seorang diantara kamu memakan daging saudaranya
yang sudah mati? Maka tentulah kami merasa jijik kepadanya.
Ayat ini mengandungi amaran keras dari Allah SWT kepada
orang-orang yang suka mengumpat iaitu sebagaimana kamu sangat benci dan jijik
memakan daging saudaramu yang sudah mati (mayt), hendaknya demikian jugalah
derjat kebencianmu daripada mengumpatnya semasa hidupnya.
Dengan kata lain sebagaimana kamu jijik memakan daging manusia
yang sudah mati menurut naluri (fitrah) maka begitulah hendaknya kamu benci
terhadap mengumpat menurut syar'i (agama).
Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima
taubat lagi Maha Penyayang.
Maksudnya: Jauhilah sifat suka mengumpat dan kembalilah ke jalan
Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Walaupun hukum asal " mengumpat " adalah haram
tetapi kadangkala hukum mengumpat dibolehkan atau tidak diharamkan jika maksud
syara' (agama) tidak tercapai kecuali dengannya:
(l) Jika dizalimi. Maksudnya: Orang yang dizalimi boleh
mengadu dan menceritakan ke’aiban orang yang menzaliminya kepada orang yang
dianggap dapat menolong menyelesailan masalahnya seperti kepada hakim atau
mufti dan lain lain yang mempunyai otoriti untuk tujuan itu.
(2) Minta pertolongan untuk menghentikan kemunkaran
kepada orang yang dirasakan mampu untuk berbuat demikian umpamanya mengadu
perbuatan sumbang atau salah laku yang dilakukan oleh anggota masyarakat kepada
Badan Pencegah Maksiat, Badan Pencegah Rashwah dan lain lain agar mengambil
tindakan sewajarnya agar perbuatan tersebut tidak berterusan.
(3) Mohon fatwa kepada mufti. Sebab mufti tidak dapat
memberi fatwa yang tepat sekiranya ia tidak dimaklumkan tentang perkara apa
yang sebenarnya berlaku. Umpamanya seorang isteri yang dianiaya oleh suaminya.
Dalam hal ini tidak berdosa isteri tersebut menceritakan keburukan suaminya
yang tidak bertanggung jawab seperti tidak memberi saraan hidup atau suka
mendera isteri dan lain lain.
(4) Memperingati umat Islam daripada kerugian atas kesesatan,
seperti menyebut ke’aiban periwayat hadis seperti ia kurang kuat ingatan,
pendusta, kurang amanah dan lain lain agar umat Islam boleh berhati hati dan
waspada jangan terambil hadis yang diriwayatkannya.
(5) Jika dia melakukan kemungkaran secara terang terangan,
seperti pemabuk atau penjudi, malah bangga dengan perbuatannya itu.
(6) Sebagai gelaran pengenalan. Tanpa gelaran tersebut
sukar dia dikenali seperti Mamat pincang, Minah sumbing dsb.
Hai manusia, sesungguhnya kami menjadikan kamu dari seorang
lelaki dan seorang perempuan.
Maksudnya: Hai manusia, kamu semua berasal dari datok yang satu
iaitu Adam dan nenek yang satu iaitu Hawa. Oleh itu mengapa sebahagian kamu
memperolok-olokkan sebahagian yang lain?, mencela, melemparkan dengan gelaran
yang buruk , berburuk sangka , mengumpat padahal kamu adalah bersaudara?
Dari Abi Mulaikah, katanya: Pada hari penaklukan kota Mekah, Bilal
Bin Rabah naik keatas anjung Ka'bah lalu beliau melaungkan azan. Lalu berkata
Attab Rin Asid Bin Abi Al Aish: " Syukur Al Hamdulillah yang telah
mematikan ayahku sebelum tiba hari ini ".
Berkata pula Harits Bin
Hisyam: " Apakah Muhammad tidak mendapati orang lain untuk azan selain
gagak hitam ini? ".
Lalu Jibrail menyampaikan kepada Nabi Muhammad
SAW. apa yang telah mereka perkatakan. Nabi SAW. pun memanggil sahabat-sahabat
berkenaan dan menanyakan mereka , dan mereka mengaku. Kerana inilah ayat diatas
diturunkan oleh Allah SWT.
Dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya
kamu saling kenal mengenali.
Maksudnya: Supaya kamu saling kenal mengenali, bukan saling
membenci, bukan saling menghina, bukan saling mencaci.
Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah
ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui lagi Maha Mengenal.
Maksudnya: Kemuliaan tidak semestinya ditentukan oleh jenis
kelamin, warna kulit atau suku bangsa. Tetapi ia sangat ditentukan oleh
ketaqwaan seseorang kepada Allah. Oleh itu kalaupun anda ingin berbangga maka
berbanggalah dengan " taqwa ".
No comments:
Post a Comment